PERSATUAN BEKAS PEKERJA TENAGA NASIONAL PERLEMBAGAAN

FASAL 1. NAMA

1.1 Pertubuhan ini dikenali dengan nama Persatuan Bekas Pekerja Tenaga Nasional dan selepas ini disebut sebagai Persatuan.

FASAL 2. TEMPAT URUSAN BERDAFTAR
2.1. Alamat tempat urusan berdaftar ialah Pejabat Bahagian Sumber Manusia Kumpulan, Ibu Pejabat, Tenaga Nasional Berhad, No. 129, Jalan Bangsar,
Peti Surat 11003, 50732 Kuala Lumpur.

FASAL 3. TUJUAN

3.1. Menjalin hubungan erat di kalangan bekas pekerja TNB.

3.2. Bertindak sebagai pemudahcara bagi membantu Pengurusan mengendalikan aktiviti kebajikan dan sosial bekas pekerja.

3.3 Menyediakan saluran hubungan di antara bekas pekerja dan Pengurusan.

FASAL 4. KEAHLIAN

4.1 Keahlian Persatuan adalah terbuka kepada bekas pekerja TNB.

4.2 Bekas pekerja yang ditamatkan perkhidmatan oleh sebab tindakan tatatertib tidak layak untuk menjadi ahli Persatuan.

4.3 Setiap permohonan untuk menjadi ahli hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat. Setiausaha Kehormat, setelah menerima permohonan, hendaklah mengemukakan kepada Jawatankuasa Pusat Persatuan untuk dipertimbangkan.

4.4 Jawatankuasa Pusat setelah menimbang permohonan boleh menerima atau menolak sesuatu permohonan tanpa perlu memberi sebarang sebab.

FASAL 5. DEFINASI

5.1 TNB bermakna Tenaga Nasional Berhad yang ditubuhkan di bawah Akta Syarikat 1965 termasuk segala organisasi yang diambilalih olehnya atau Syarikat-Syarikat yang menggantinya.

5.2 Bekas Pekerja bermakna mereka yang telah pernah dilantik berkhidmat dan disahkan dalam jawatan oleh TNB.

5.3 Pengurusan bermakna Badan Pengurusan TNB.

FASAL 6. PEMBERHENTIAN DAN PEMECATAN AHLI

6.1 Ahli yang hendak berhenti dari menjadi ahli Persatuan hendaklah memberi notis pemberhentiannya 14 (empat belas) hari bekerja terlebih dahulu kepada Setiausaha Kehormat.

6.2 Mana-mana ahli yang gagal mematuhi Perlembagaan Persatuan atau bertindak dengan cara yang akan mencemar nama baik Persatuan boleh dipecat atau digantung keahliannya bagi suatu tempoh yang difikirkan munasabah oleh Jawatankuasa Pusat sebelum pemecatan atau penggantungan itu dilaksanakan.

FASAL 7. MESYUARAT AGUNG TAHUNAN

7.1 Sekurang-kurangnya 1/3 daripada jumlah ahli yang berhak atau 3 kali ganda jumlah Ahli Jawatankuasa Pusat yang mana lebih rendah hendaklah hadir di dalam Mesyuarat Agung Tahunan bagi mengesahkan perjalanan Mesyuarat dan mencukupi korum untuk mesyuarat.

7.2 Jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk Mesyuarat, maka Mesyuarat itu hendaklah ditangguhkan kepada suatu tarikh (tidak lebih daripada 30 hari) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa; dan jika korum tidak cukup selepas setengah jam daripada waktu yang telah ditetapkan untuk Mesyuarat yang ditangguhkan itu maka ahli-ahli yang hadir, berkuasa untuk menjalankan Mesyuarat tetapi tidak berkuasa untuk meminda Perlembagaan Persatuan dan membuat keputusan-keputusan yang melibatkan semua ahli.

7.3 Mesyuarat Agung Tahunan bagi Persatuan hendaklah diadakan selepas 31 Ogos tetapi tidak lewat daripada 31 Disember tiap-tiap tahun pada tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pusat. Kerja-kerja Mesyuarat Agung Tahunan ialah:

a) menerima dan mengesahkan laporan Jawatankuasa Pusat berkenaan perjalanan Persatuan;

b) menguruskan perkara-perkara lain yang dibentangkan di dalam mesyuarat itu.

7.4 Sebarang usul yang hendak dibawa untuk perbincangan di Mesyuarat Agung Tahunan hendaklah dikemukakan kepada Setiausaha Kehormat secara bertulis tidak lewat daripada 14 hari sebelum tarikh Mesyuarat Agung Tahunan diadakan.

7.5 Setiausaha Kehormat/Setiausaha Kerja hendaklah menghantar kepada tiap-tiap ahli sekurang-kurangnya 14 hari sebelum Mesyuarat Agung Tahunan diadakan satu agenda mesyuarat termasuk salinan peringatan mesyuarat dan laporan. Salinan surat-surat ini juga hendaklah dibekalkan untuk dibaca oleh ahli-ahli di alamat tempat urusan berdaftar Persatuan.

FASAL 8. MESYUARAT AGUNG LUAR BIASA

8.1 Mesyuarat Agung Luar Biasa bagi Persatuan ini boleh diadakan:

a) bila difikirkan mustahak oleh Jawatankuasa Pusat; atau

b) atas permintaan dengan permintaan bertulis tidak kurang dari satu perlima (1/5) dari jumlah ahli yang berhak mengundi dengan menerangkan tujuan dan sebab mengadakannya. Permintaan itu hendaklah dihantar kepada Setiausaha Kehormat.

8.2 Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diminta oleh ahli-ahli hendaklah diadakan pada satu tarikh di dalam tempoh satu bulan dari tarikh penerimaan permintaan Mesyuarat itu.

8.3 Pengumuman dan agenda untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa itu hendaklah dimaklumkan kepada semua ahli sekurang-kurangnya empat belas (14) hari sebelum tarikh yang telah ditetapkan untuk bermesyuarat.

8.4 Fasal 8.1 dan fasal 8.2 di dalam Perlembagaan ini berkenaan korum dan penangguhan Mesyuarat Agung Tahunan boleh digunakan untuk Mesyuarat Agung Luar Biasa, tetapi dengan syarat korum tidak mencukupi selepas setengah jam dari waktu yang ditetapkan bagi Mesyuarat Agung Luar Biasa atas permintaan ahli-ahli itu maka Mesyuarat tersebut hendaklah dibatalkan dan dalam masa enam (6) bulan dari tarikh ini, Mesyuarat Agung Luar Biasa atas permintaan ahli-ahli dengan tujuan yang sama tidaklah boleh diadakan.

FASAL 9. JAWATANKUASA PUSAT

9.1. Jawatankuasa Pusat adalah terdiri daripada:

Yang DiPertua
Naib Yang DiPertua
Setiausaha Kehormat
Bendahari Kehormat
Setiausaha Kerja (ex-officio)
Sepuluh orang ahli Jawatankuasa Pusat

9.2 Yang DiPertua, Naib Yang DiPertua, Setiausaha Kehormat dan Bendahari (Pemegang-pemegang Jawatan Utama) akan dilantik oleh Pengurusan dari kalangan ahli-ahli persatuan.

9.3 Ahli-ahli Jawatankuasa Pusat adalah dipilih dengan cara mengundi oleh ahli-ahli dalam Mesyuarat Agung Tahunan setiap dua tahun.

9.4 Fungsi-fungsi Jawatankuasa Pusat ialah:-

a) Untuk mengelola dan mengaturkan kerja-kerja yang berkaitan dan selaras dengan tujuan penubuhan Persatuan ini.

b) Menyedia dan membentangkan laporan-laporan berkenaan dengan aktiviti-aktiviti persatuan dalam tiap-tiap Mesyuarat Agung Tahunan.

c) Mengambil tindakan-tindakan yang selaras dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan.

d) Bermesyuarat sekurang-kurangnya sekali dalam tiga (3) bulan;

i. Yang DiPertua dengan bersendirian atau tidak kurang daripada 4 orang ahli Jawatankuasa Pusat bersama-sama boleh memanggil supaya diadakan mesyuarat
Jawatankuasa pada bila-bila masa saja.

ii. Atas arahan Yang DiPertua, setiausaha kerja akan memberi notis tujuh (7) hari untuk memanggil mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

iii. Sekurang-kurangnya setengah (1/2) daripada bilangan ahli Jawatankuasa Pusat hendaklah hadir bagi mencukupkan korum mesyuarat.

9.5 Jika mesyuarat Jawatankuasa Pusat tidak dapat diadakan, perkara-perkara mustahak yang memerlukan keputusannya boleh diperolehi melalui edaran surat pekeliling kepada setiap Ahli Jawatankuasa Pusat dengan syarat;

a) Masalah yang dibangkitkan itu hendaklah dibutirkan dengan terang di dalam surat pekeliling yang diedarkan kepada tiap-tiap ahli Jawatankuasa Pusat;

b) Sekurang-kurangnya separuh daripada ahli ahli Jawatankuasa Pusat mestilah menyatakan persetujuan atau bantahan mereka terhadap cadangan itu; dan

c) Keputusan hendaklah dengan undi yang terbanyak. Sebarang keputusan yang didapatkan melalui surat pekeliling hendaklah dilaporkan oleh Setiausaha Kehormat kepada mesyuarat Jawatankuasa Pusat berikutnya untuk disahkan dan dicatatkan di dalam peringatan mesyuarat.

9.6 Ahli Jawatankuasa yang gagal menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Pusat sebanyak tiga (3) kali berturut-turut tanpa alasan yang munasabah akan dianggap sebagai telah meletakkan jawatan di dalam Jawatankuasa Pusat.

9.7 Jawatankuasa Pusat boleh menubuhkan Jawatankuasa kecil jika difikirkan perlu dan memberikan tugas khas kepada sebarang ahli Jawatankuasa Pusat.

FASAL 10. TUGAS-TUGAS AHLI JAWATANKUASA PUSAT

10.1 Yang DiPertua, dalam tempoh menyandang jawatannya, hendaklah menjadi Pengerusi semua Mesyuarat Agung Tahunan dan semua Mesyuarat Jawatankuasa Pusat serta bertanggungjawab atas kesempurnaan perjalanan semua mesyuarat. Yang Dipertua mempunyai undi pemutus.

10.2 Naib Yang Dipertua hendaklah menjalankan tugas Yang Dipertua semasa ketiadaannya.

10.3 Setiausaha Kehormat dan Setiausaha Kerja hendaklah:

a) menjalankan kerja pentadbiran Persatuan mengikut perlembagaan dan mereka hendaklah melaksanakan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan dan Mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

b) Setiausaha Kerja hendaklah menyimpan buku daftar ahli.

10.4 Setiausaha Kerja hendaklah menolong Setiausaha Kehormat menjalankan kerja-kerjanya dan menjalankan tugas itu semasa ketiadaan Setiausaha Kehormat.

10.5 Bendahari Kehormat akan bekerjasama dengan pihak Pengurusan mengenai pembiayaan Persatuan ini.

10.6 Ahli Jawatankuasa Pusat yang lain hendaklah menjalankan tugas seperti yang diarahkan oleh Yang DiPertua atau Jawatankuasa Pusat

FASAL 11. KEWANGAN

11.1 Persatuan ini akan dibiayai penuh oleh TNB.

FASAL 12. TAFSIRAN UNDANG-UNDANG

12.1 Di antara Mesyuarat-Mesyuarat Agung Tahunan, Jawatankuasa Pusat Boleh memberikan tafsirannya kepada perlembagaan ini dan Jawatankuasa Pusat, jika difikirkan mustahak, boleh memutuskan perkaraperkara yang tidak terkandung di dalamnya.

12.2 Kecuali perkara-perkara yang bertentangan atau tidak selaras dengan dasar yang telah dibuat dalam Mesyuarat Agung Tahunan, keputusan Jawatankuasa Pusat terhadap ahli-ahli adalah muktamad jika tidak diubah oleh keputusan Mesyuarat Agung Tahunan.

FASAL 13. PENAUNG

13.1 Penaung Persatuan ini ialah Pengerusi TNB.

FASAL 14. PENASIHAT


14.1 Penasihat Persatuan ini adalah Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif semasa serta bekas-bekas Presiden atau Ketua Pegawai Eksekutif.

FASAL 15. LARANGAN

15.1 Ahli-ahli Persatuan tidak boleh menghalang atau dengan apa cara sekalipun menggangu aktiviti-aktiviti Persatuan.

FASAL 16. PINDAAN PERLEMBAGAAN

16.1 Perlembagaan Persatuan ini tidak boleh diubah atau dipinda kecuali
dengan keputusan Mesyuarat Agung Tahunan.

FASAL 17. PEMBUBARAN

17.1 Persatuan ini boleh dibubarkan secara sukarela dengan persetujuan tidak
kurang daripada tiga perlima (3/5) daripada jumlah ahli yang menghadiri
dalam suatu Mesyuarat Agung yang dipanggil khas kerananya.