FOR POWER OUTAGE OR BREAKDOWN,
PLEASE CALL 15454

72,000 Pelanggan TNB Terima Rebat Bil Elektrik

26/12/2021

Keputusan segera Tenaga Nasional Berhad (TNB) memberi rebat 100 peratus secara sekali sahaja (one-off) bagi bil elektrik bulan Disember 2021 kepada72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas akibat banjir, didorongi rasa kebersamaannya dengan rakyat yang juga pelanggannya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat pandangan dan pertimbangan Perdana Menteri, sekali gus ia adalah persetujuan bersama kerajaan bagi menyantuni mangsa banjir. 

"Warga kerja TNB juga adalah ahli komuniti dalam pelbagai lapisan masyarakat, sekali gus sentiasa dapat merasai bersama perasaan rakyat yang juga pelanggan kami. Pemberian rebat dan peruntukan yang disediakan sebelum ini mencerminkan nilai-nilai teras warga TNB termasuk  keprihatinan, di samping rasa kebersamaannya dengan rakyat,” kata beliau.

Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian rebat itu kepada 72,000 pelanggan domestik TNB yang terjejas dilanda bencana alam di negeri-negeri terlibat dengan peruntukan kecemasan tambahan sebanyak RM 9 juta.

Baru-baru ini TNB sudah pun mengumumkan peruntukan RM40 juta bagi tujuan kerja-kerja pemulihan di samping RM2 juta lagi dalam bentuk bantuan kewangan melalui Tabung Warga TNB Prihatin (TWTP).

Lebih 2,000 warga kerja TNB di seluruh Semenanjung berusaha memulihkan semula bekalan dan membantu mangsa banjir lebih-lebih lagi dalam proses pemulihan aset bekalan TNB (pencawang elektrik, kabel, tiang elektrik) yang terjejas akibat bencana tersebut.




Untuk ketahui lebih lanjut: File