FOR POWER OUTAGE OR BREAKDOWN,
PLEASE CALL 15454

Penyaluran Bekalan Elektrik di Pintu Masuk Terjamin dan Stabil

08/12/2023

Tenaga Nasional Berhad (TNB) sentiasa mengambil langkah proaktif bagi menjamin penyaluran bekalan ke semua pintu masuk di Semenanjung dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), demi kestabilan pembekalan kawasan strategik melibatkan perkhidmatan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) negara.

Pemeriksaan berkala dan pembaikan segera sebaik mengesan sebarang kejanggalan adalah langkah penting dalam SOP penyelenggaran setiap pepasangan TNB, sebelum bekalan disampaikan kepada premis pintu masuk yang berada di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan disenggara Jabatan Kerja Raya (JKR).

Ketua Pegawai Rangkaian Pembahagian (Chief Distribution Network Officer) TNB, Wan Nazmy Wan Mahmood menjelaskan bahawa sebarang kerja selenggaraan melibatkan pembekalan tenaga ke premis pintu masuk terlibat perlu mendapat kebenaran pihak KDN dan JKR.

“Tanggungjawab TNB adalah memberi bekalan sehingga stesen suis pihak pengguna yang mana kemudiannya pengguna akan mengagihkan bekalan tersebut melalui pencawang dalaman mereka.

“Pembekalan sehingga ke premis pengguna akan disemak oleh TNB menggunakan CBM (Condition Based Monitoring) setiap enam bulan, selain senggaraan berjadual setiap 18, 24 atau 36 bulan bergantung kepada jenis alat suis pada pepasangan TNB,” katanya.

SOP penyelenggaran turut melibatkan TNB menawarkan set janakuasa bergeraknya kepada pemilik dan penyenggara premis CIQ. Namun ada kalanya TNB tidak dibenarkan menyediakan bekalan elektrik sementara menerusi set janakuasa bergeraknya seperti yang berlaku di CIQ Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Johor Bahru berikutan masalah had ketinggian untuk memasuki kawasan bangunan.

Beliau menjelaskan demikian sebagai pencerahan mengenai tanggungjawab TNB dan pihak pemilik bangunan CIQ di pintu-pintu masuk di Semenanjung Malaysia, termasuk CIQ BSI, Johor Bahru.




Untuk ketahui lebih lanjut: File