Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Ulu Jelai TNB
02/03/2011
1 Mac 2011 - Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah mengadakan Majlis Pecah Tanah Projek Hidroelektrik Ulu Jelai, Cameron Highlands, Pahang yang disempurnakan oleh K.D.Y.M.M. Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’azam Shah. Projek Hidroelektrik Ulu Jelai berjumlah RM2.15 billion berkapasiti 372 MW ini akan digunakan untuk menjana kuasa elektrik bagi memenuhi keperluan elektrik pada waktu puncak. Ia meliputi beberapa komponen utama iaitu pembinaan dua Terowong Pengalihan Air, Empangan Susu, Stesen Janakuasa Bawah Tanah, Terowong Tenaga, Lapangan Suis, Bangunan Kawalan dan Jalan Masuk. Pembinaan Projek Hidroelektrik Ulu Jelai ini meliputi dua fasa. Fasa 1 telah pun bermula pada Oktober 2010 yang lalu manakala Fasa 2 dijangka bermula pada Mac tahun ini. Pengerusi TNB, Tan Sri Leo Moggie dalam ucapan aluannya berkata sebagai pembekal elektrik utama negara, Syarikat bertanggungjawab memastikan kestabilan bekalan elektrik negara bagi menarik pelabur asing selain bagi memenuhi permintaan bekalan elektrik sejajar dengan pertambahan penduduk dan kemajuan ekonomi. Perlaksanaan projek ini juga akan memberi manfaat kepada rakyat dari segi peluang-peluang pekerjaan yang akan diwujudkan, khususnya untuk masyarakat setempat dan kontraktor tempatan. Mengenai kesan projek kepada alam sekitar, beliau berkata TNB telah menjalankan Kajian Penilaian Kesan Alam Sekitar bagi memastikan projek berkenaan mematuhi syarat-syarat dan peraturan yang ditetapkan Kerajaan. TNB juga telah mengadakan pelbagai perbincangan dan rundingan sejak tahap perancangan projek lagi bersama pihak-pihak yang terlibat, khususnya penduduk setempat yang terdiri daripada masyarakat Orang Asli, serta pihak-pihak berkuasa tempatan dan jabatan-jabatan Kerajaan bagi memberi penjelasan dan mendapatkan pandangan umum. Penduduk kampung-kampung yang terlibat akan ditempatkan ke kawasan penempatan baru dilengkapi dengan pelbagai kemudahan yang telah dikenalpasti dan juga telah dipersetujui oleh mereka sendiri dan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), kata beliau. Stesen hidroelektrik ini dijangka mula beroperasi pada bulan Disember 2015. Penakungan air dijangka bermula pada Oktober 2015 menerusi dua Terowong Pengalihan Air sepanjang 8.4 km dan 7.5 km untuk menyalurkan air mentah secara aliran graviti dari Sungai Telom dan Sungai Lemoi ke kawasan takungan seluas 124 hektar. Turut hadir semasa Majlis Pecah Tanah ialah Y. Bhg. Noriah Kasnon, Timbalan Menteri Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Y. Bhg. Dato’ Sri Che Khalib Mohamad Noh, Ketua Pegawai Operasi Suruhanjaya Tenaga, Ir Ahmad Fauzi Hasan serta Pengurusan Tertinggi TNB.