FOR POWER OUTAGE OR BREAKDOWN,
PLEASE CALL 15454

Butiran-butiran Penting

1. Berapakah jumlah kuantum ICPT yang akan dilepaskan kepada pelanggan untuk tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024?

Berdasarkan pengumuman yang telah dibuat oleh Suruhanjaya Tenaga pada 22 Disember 2023, pelaksanaan mekanisma Pelepasan Kos Tidak Berimbang atau lebih dikenali sebagai “Imbalance Cost Pass-Through (ICPT)” bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024, adalah seperti berikut:

  • Pelanggan kediaman (tarif A) dengan penggunaan elektrik 600 kWj dan ke bawah kekal menerima rebat 2 sen/kWj;
     
  • Pelanggan kediaman (tarif A) dengan penggunaan elektrik antara 601 kWj hingga 1,500 kWj tidak menerima rebat dan tidak dikenakan surcaj (zerorise);
     
  • Pelanggan kediaman (tarif A) dengan penggunaan elektrik melebihi 1,500 kWj (>1,500 kWj) kekal dikenakan surcaj pada kadar 10 sen/kWj.
     
  • Pelanggan bukan kediaman dalam kategori tarif voltan rendah (tarif B dan D), pengguna dalam kategori tarif pertanian spesifik (tarif H, H1 dan H2) dan operator air dan pembetungan kekal dikenakan surcaj pada kadar 3.70 sen/kWj;
     
  • Pelanggan bukan kediaman selain di perenggan 1(d) kekal dikenakan surcaj pada kadar 17 sen/kWj iaitu pengguna dalam kategori tarif komersial voltan sederhana dan voltan tinggi, tarif perindustrian voltan sederhana dan voltan tinggi, tarif perlombongan dan pengguna lampu jalan*

    *Terdiri daripada Lampu Jalan Raya, Neon & Lampu Limpah dan Lampu Jalan Individu

Nota:

  • Pelanggan Domestik merujuk kepada pelanggan kediaman
  • Pelanggan Bukan Domestik merujuk kepada pelanggan Komersil, Industri dan lain-lain

2. Siapakah yang akan terlibat dengan pelaksanaan ICPT ini?

Bagi tempoh 1 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024, pelaksanaan ICPT adalah seperti berikut:

Semua pelanggan Kediaman dan Bukan Kediaman terlibat dengan pelaksanaan ICPT sama ada dalam bentuk rebat atau pun surcaj yang telah diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga pada 22 Disember 2023

infografik penyasaran semula subsidi elektrik

Apakah yang dimaksudkan dengan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT)?

ICPT adalah mekanisma yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation, IBR). Mekanisme ICPT membolehkan TNB sebagai utiliti mengatasi perubahan (sama ada peningkatan atau penurunan) kos bahan api dan penjanaan untuk dilepaskan kepada pelanggan melalui tarif elektrik setiap enam (6) bulan bagi tujuan pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj. Mekanisme ini dilaksanakan berdasarkan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]. Impak pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB di mana ianya tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi perniagaan dan kedudukan kewangan TNB.

Apakah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos ICPT?

Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam (6) bulan dan dilepaskan kepada pelanggan elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat. Lebih 90% daripada elektrik yang dijana di Malaysia menggunakan arang batu dan gas.

Oleh itu, harga arang batu yang menjadi salah satu bahan utama untuk menjana elektrik telah meningkat dengan sangat ketara berbanding harga yang ditetapkan untuk Tempoh Kawal Selia Ketiga (Regulatory Period 3, RP3), menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat dengan ketara. Ini memberi impak yang besar kepada tarif elektrik di Semenanjung kerana ~57% sumber penjanaan adalah arang batu. Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global. Sektor penjanaan tenaga elektrik mengalami tekanan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia berikutan peningkatan kos bahan api ini.

Siapakah yang bertanggungjawab untuk menentukan kaedah pengiraan ICPT?

Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission) selaku pengawal selia sektor tenaga di Malaysia bertanggungjawab menentukan kaedah pengiraan ICPT, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan setiap enam (6) bulan.

Apakah komponen-komponen di dalam mekanisma ICPT?

Terdapat 2 komponen utama di dalam ICPT:

  • FCPT: ialah komponen Pelepasan Kos Bahan Api yang melibatkan perubahan kos bahan api (gas asli berpaip, gas asli secair (Liquefied Natural Gas, LNG) dan arang batu) akibat daripada perubahan harga pasaran bahan api, kuantiti bahan api, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik, pertukaran wang asing dan lain-lain.

  • GSCPT: ialah Pelepasan Kos Spesifik Penjanaan yang melibatkan perubahan dalam kos penjanaan yang lain berkaitan Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA & Perjanjian Tahap Perkhidmatan (Service Level Agreements, SLA) dan kontrak perolehan bahan api seperti Perjanjian Bekalan Arang Batu (Coal Supply Agreement, CSA), Perjanjian Bekalan Arang Batu dan Pengangkutan (Coal Supply and Transportation Agreement, CSTA), Perjanjian Bekalan Gas (Gas Supply Agreement, GSA) Perjanjian Rangka Kerja Gas (Gas Framework Agreement, GFA) dan lain-lain

Bagaimanakah jumlah ICPT yang dilepaskan kepada pengguna ditentukan?

Jumlah ICPT adalah berdasarkan perbezaan di antara anggaran kos sebenar bahan api dan kos penjanaan untuk enam (6) bulan tertentu berbanding dengan kos bahan api dan penjanaan yang telah ditetapkan di dalam pengiraan Tarif Asas.

Sejak 2015, Kerajaan telah berjaya melaksanakan sembilan belas (19) kitaran ICPT, dan telah memberi subsidi berjumlah RM22.8 bilion, termasuk subsidi terkini berjumlah RM1.4 bilion bagi pelaksanaan ICPT dari 1 Januari 2024 hingga 30 Jun 2024, untuk mengurangkan kesan akibat kenaikan harga bahan api.

Bagaimanakah caj ICPT akan memberi kesan terhadap bil elektrik saya?

Caj ICPT adalah caj yang dikenakan untuk setiap kWj tenaga elektrik yang digunakan. Caj ICPT adalah komponen boleh ubah dalam bil elektrik di mana kadar ICPT adalah berdasarkan penggunaan tenaga elektrik anda pada setiap bulan. ICPT adalah caj yang dilepaskan secara terus dan pengiraannya adalah mengikut penggunaan bulanan tenaga elektrik dalam unit kWj didarab dengan kadar ICPT (sen/kWj). Caj ICPT ini kemudiannya akan ditambah atau ditolak daripada jumlah bil semasa anda.

Contoh Bill Domestik

Contoh Bill Bukan Domestik (Tarif B)

Bagaimanakah ICPT dikira untuk pengguna solar, seperti Net Energy Metering (NEM)?

Pelanggan dengan penjanaan solar seperti Net Energy Metering (NEM), Self-Consumption (SelCo)  juga tertakluk kepada pelaksanaan ICPT berdasarkan kategori yang disenaraikan di atas. Pengiraan ICPT adalah berdasarkan penggunaan import (kWj) dari grid. Pelanggan dengan penjanaan solar yang tidak mempunyai storan bateri masih menggunakan tenaga daripada grid dalam tempoh tiada penjanaan dari solar dan oleh itu tertakluk oleh pelarasan ICPT.

Adakah semua pelanggan membayar jumlah yang sama untuk caj ICPT?

Jumlah caj ICPT pada bil elektrik anda mungkin berbeza daripada jiran anda kerana ia bergantung kepada jumlah penggunaan tenaga elektrik (kWj) sebulan. Oleh itu, jumlah ICPT yang perlu dibayar adalah berbeza daripada seorang pelanggan dengan pelanggan yang lain, dan berbeza dari satu bulan ke satu bulan yang lain, bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik.

Untuk mengurangkan impak ICPT di dalam bil, pelanggan disarankan mengambil langkah penjimatan elektrik seperti yang disarankan oleh Pihak Suruhanjaya Tenaga (Energy Commission).

Apakah inisiatif dari pihak kerajaan dan pengawal selia untuk mempersiapkan pelanggan bagi menghadapi kadar ICPT baru pada masa hadapan?

Kerajaan telah menyediakan platform Kalkulator ICPT mesra pelanggan (user-friendly) melalui portal myelectricitybill.my yang terdapat di laman web rasmi Suruhanjaya Tenaga. Sila rujuk laman web ST untuk keterangan lanjut berkaitan pelaksanaan ICPT.

Kalkulator ICPT ini juga bertujuan untuk mendidik pelanggan supaya lebih peka kepada perubahan harga bahan api dan kadar tukaran wang asing di pasaran. Pelanggan boleh memasukkan unjuran harga arang batu dan gas serta kadar tukaran wang asing (forecast fuel price & forex) untuk membuat anggaran kos ICPT pada tempoh pelarasan tarif akan datang.

Selain dari itu, sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik, para pelanggan turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah menggunakan elektrik dengan cekap. Terdapat pelbagai cara mudah yang boleh
dilakukan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, antaranya adalah:

  • melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan cara memantau dan menganalisa penggunaan tenaga elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik;
  • membeli atau menggantikan peralatan elektrik di rumah dengan menggunakan peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5 atau 4 bintang supaya ia dapat memberi lebih banyak penjimatan tenaga elektrik, serta melaksanakan penyelenggaraan secara berkala mengikut spesifikasi yang ditetapkan;
  • memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik; 
  • menggunakan peralatan elektrik dengan lebih efisien, sebagai contoh menetapkan suhu penyaman udara pada suhu antara 24°C hingga 26°C;
  • memanfaatkan pemberian e-rebat sehingga RM400 yang diberikan oleh Kerajaan melalui program SAVE 4.0 bagi pembelian penyaman udara dan peti sejuk cekap tenaga yang mempunyai penarafan 5 atau 4 bintang serta diiktiraf oleh Suruhanjaya Tenaga; dan
  • memanfaatkan program Net Energy Metering (NEM) di mana ia telah dilanjutkan sehingga 2024 seperti diumumkan oleh Kerajaan sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik pengguna

Apakah kadar ICPT bagi akaun lampu jalan di bawah seliaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)?

Kerajaan melalui Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA) telah bersetuju untuk mengurangkan kadar surcaj ICPT bagi kategori lampu jalan (kategori tarif G & G1) di bawah seliaan PBT daripada 17sen/kWj kepada 10sen/kWj bagi tempoh 1 Mac 2024 hingga 30 Jun 2024.

Akaun lampu jalan yang layak adalah berdasarkan senarai yang telah disahkan oleh pihak Kerajaan.

Adakah Program eKasih masih diteruskan? Bagaimana pelanggan boleh memohon eKasih?

Program Rebat Bil Elektrik RM40 merupakan program bantuan Kerajaan yang disasarkan untuk membiayai bil elektrik bulanan sehingga RM40 kepada mereka yang kurang bernasib baik dan berdaftar dalam sistem eKasih.

Program ini diumumkan oleh Kerajaan dalam Ucapan Bajet 2019 pada 2 November 2018, menggantikan Program Rebat Bil Elektrik RM20 yang berakhir pada Disember 2018. Pada tahun 2023, program ini diteruskan untuk kategori Miskin Tegar di bawah sistem eKasih.

Semakan kelayakan Program Rebat Bil Elektrik RM40 boleh dibuat di portal Kementerian Peralihan Tenaga & Transformasi Air (PETRA) melalui semakanrebat.nrecc.gov.my atau dengan menghubungi Hotline MyGCC di 03-8000 8000 atau TNB CareLine 1-300-88-5454.

Pengguna eKasih yang layak dan mempunyai akaun TNB yang aktif (Tarif A, Kediaman) akan menerima terus rebat RM40 dalam bil bulanan mereka. Bagi pengguna eKasih yang layak dan tidak mempunyai akaun berdaftar dengan TNB, pengguna boleh mengisytiharkan akaun pihak ketiga dengan mengemukakan borang permohonan kepada Kedai Tenaga yang terdekat.