Butiran-butiran Penting
1. Berapakah jumlah ICPT rebat yang akan dilepaskan kepada pelanggan untuk tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023?
Pelaksanaan mekanisma Pelepasan Kos – Kos Tidak Seimbang atau lebih dikenali sebagai “Imbalance Cost Pass-Through (ICPT)” bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023, adalah seperti berikut:
-
Berdasarkan pengumuman yang telah dibuat oleh Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC), YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad pada 16 Disember 2022, Kerajaan telah bersetuju untuk tidak menaikkan tarif elektrik kepada semua pelanggan domestik berikutan pelarasan tarif elektrik di semenanjung melalui mekanisme Imbalance Cost Pass-Through (ICPT) bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023.
-
Dalam masa yang sama, pelanggan - pelanggan bukan domestik kategori tarif B & D iaitu Perdagangan Voltan Rendah (Lower Voltage - LV) dan Perindustrian Voltan Rendah yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil dan lain-lain seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan tarif elektrik. Dalam hal ini, Kerajaan memperuntukkan RM8.74 bilion subsidi kepada kategori pengguna ini.
-
Bagi memastikan harga barangan makanan dan produk pertanian tidak mengalami sebarang kenaikan, pelanggan bukan domestik bagi kategori H, H1 dan H2 seperti petani, penternak dan pekebun turut juga tidak akan mengalami kenaikan tarif elektrik. Kerajaan memperuntukkan tambahan RM90 juta subsidi kepada kategori pengguna ini.
-
Bagi pelanggan - pelanggan bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj. Ini bermakna Kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak.
-
Justeru, lebih 9 juta pelanggan elektrik yang melebihi 90 peratus daripada keseluruhan pengguna di Semenanjung Malaysia tidak akan terkesan dengan kenaikan kos bahan api untuk penjanaan elektrik
-
Bagi pelanggan - pelanggan bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj. Ini bermakna Kerajaan masih lagi menampung subsidi sebanyak RM1.93 bilion agar peningkatan surcaj ini tidak dilepaskan keseluruhannya secara mendadak.
-
Krisis tenaga di peringkat global telah memberikan tekanan yang belum pernah berlaku (unprecedented pressure) kepada industri tenaga elektrik disebabkan harga bahan api yang sangat tinggi. Ini menyebabkan peningkatan mendadak kos penjanaan elekrik dan pelarasan tarif elektrik melalui mekanisme ICPT berada pada kadar yang sangat tinggi iaitu sebanyak RM16.16 bilion bagi tempoh Julai hingga Disember 2022.
-
Berdasarkan kepada kos penjanaan yang sangat tinggi ini, semua pengguna elektrik di Semenanjung sepatutnya dikenakan surcaj sebanyak 27 sen/kWj bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2023 yang akan menyebabkan peningkatan kos sara hidup sekiranya dilepaskan kepada pengguna sepenuhnya. Sekiranya keseluruhan kos ICPT ditampung melalui subsidi, Kerajaan pula perlu menyediakan peruntukan yang sangat besar dan membebankan.
-
Dengan itu, pelaksanaan ICPT bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023 adalah seperti berikut:
Pelanggan Domestik:
- Semua pelanggan Domestik tidak akan mengalami sebarang kenaikan bil elektrik kerana rebat 2.00 sen/kWj dikekalkan.
Pelanggan Bukan Domestik:
- Pelanggan bukan domestik kategori tarif B & D iaitu Perdagangan Voltan Rendah (Lower Voltage - LV) dan Perindustrian Voltan Rendah yang terdiri daripada Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) termasuk restoran, kedai runcit, bakeri, bengkel-bengkel kecil dan lain-lain seumpamanya juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan bil elektrik kerana surcaj 3.70 sen/kWj dikekalkan;
- Pelanggan bukan domestik bagi kategori H, H1 dan H2 seperti petani, penternak dan pekebun turut juga tidak akan mengalami sebarang kenaikan bil elektrik kerana surcaj 3.70 sen/kWj dikekalkan;
- Walau bagaimanapun, pelanggan – pelanggan bervoltan sederhana (MV) dan tinggi (HV) daripada kalangan industri termasuk perbadanan multinasional (MNC) akan dikenakan surcaj pada kadar 20 sen/kWj.
* Pelanggan Domestik merujuk kepada pelanggan kediaman
* Pelanggan Bukan Domestik merujuk kepada pelanggan Komersil, Industri dan lain-lain
2. Siapakah yang akan terlibat dengan pelaksanaan ICPT dari tempoh 1 Januari hingga 30 June 2023?
Bagi tempoh 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023, pelaksanaan ICPT adalah seperti berikut:
Semua pelanggan Domestik dan Bukan Domestik terlibat dengan pelaksanaan ICPT sama ada dalam bentuk rebat atau pun surcaj yang telah diumumkan oleh YBM Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada 16 Disember 2022.
Apakah yang dimaksudkan dengan Imbalance Cost Pass-Through (ICPT)?
ICPT adalah mekanisma yang diluluskan oleh kerajaan dan dilaksanakan oleh Suruhanjaya Tenaga sejak 1 Januari 2014 di bawah rangka kerja Kawal Selia Berasaskan Insentif (Incentive Based Regulation, IBR). Mekanisme ICPT membolehkan TNB sebagai utiliti mengatasi perubahan (sama ada peningkatan atau penurunan) kos bahan api dan penjanaan untuk dilepaskan kepada pelanggan melalui tarif elektrik setiap enam (6) bulan bagi tujuan pelarasan dalam bentuk rebat atau surcaj. Mekanisme ini dilaksanakan berdasarkan Seksyen 26, Akta Bekalan Elektrik 1990 [Akta 447]. Impak pelaksanaan ICPT adalah neutral terhadap TNB di mana ianya tidak memberi sebarang kesan terhadap operasi perniagaan dan kedudukan kewangan TNB.
Apakah faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan kos ICPT?
Di bawah mekanisme ICPT, kos bahan api dan kos penjanaan elektrik akan disemak setiap enam (6) bulan dan dilepaskan kepada pelanggan elektrik dalam bentuk rebat atau surcaj bergantung kepada penjimatan atau peningkatan kos yang terlibat. Lebih dari 90% elektrik yang dijana di Semenanjung menggunakan bahan api arang batu dan gas.
Oleh kerana itu, kos bahan api tersebut telah naik dengan ketara yang menyebabkan kos penjanaan elektrik meningkat sebanyak 74%. Peningkatan harga bahan api arang batu adalah di luar kawalan Kerajaan kerana ia adalah berasaskan harga pasaran global.
Sektor penjanaan tenaga elektrik mengalami tekanan bukan sahaja di Malaysia malahan di seluruh dunia berikutan peningkatan kos bahan api ini.
Siapakah yang bertanggungjawab untuk menentukan kaedah pengiraan ICPT?
Suruhanjaya Tenaga selaku pengawal selia sektor tenaga di Malaysia bertanggungjawab menentukan kaedah pengiraan ICPT, tertakluk kepada kelulusan Kerajaan setiap enam (6) bulan.
Apakah komponen-komponen di dalam mekanisma ICPT?
Terdapat 2 komponen utama di dalam ICPT:
- FCPT: ialah komponen Pelepasan Kos Bahan Api yang melibatkan perubahan kos bahan api (gas asli berpaip, gas asli secair (Liquefied Natural Gas, LNG) dan arang batu) akibat daripada perubahan harga pasaran bahan api, kuantiti bahan api, campuran bahan api untuk penjanaan elektrik, pertukaran wang asing dan lain-lain.
- GSCPT: ialah Pelepasan Kos Spesifik Penjanaan yang melibatkan perubahan dalam kos penjanaan yang lain berkaitan Perjanjian Pembelian Tenaga (Power Purchase Agreement, PPA & Perjanjian Tahap Perkhidmatan (Service Level Agreements, SLA) dan kontrak perolehan bahan api seperti Perjanjian Bekalan Arang Batu (Coal Supply Agreement, CSA), Perjanjian Bekalan Arang Batu dan Pengangkutan (Coal Supply and Transportation Agreement, CSTA), Perjanjian Bekalan Gas (Gas Supply Agreement, GSA) Perjanjian Rangka Kerja Gas (Gas Framework Agreement, GFA) dan lain-lain
Bagaimanakah jumlah ICPT yang dilepaskan kepada pengguna ditentukan?
Jumlah ICPT adalah berdasarkan perbezaan di antara anggaran kos sebenar bahan api dan kos penjanaan untuk enam (6) bulan tertentu berbanding dengan kos bahan api dan penjanaan yang telah ditetapkan di dalam pengiraan Tarif Asas.
Sejak 2015, Kerajaan telah berjaya melaksanakan tujuh belas (17) kitaran ICPT, dan telah memberi subsidi berjumlah RM22.46 bilion, termasuk subsidi terkini berjumlah RM10.67 bilion bagi pelaksanaan ICPT dari 1 Januari 2023 hingga 30 Jun 2023, untuk mengurangkan kesan akibat kenaikan harga bahan api.
Bagaimanakah caj ICPT akan memberi kesan terhadap bil elektrik saya?
Caj ICPT adalah caj yang dikenakan untuk setiap kWj tenaga elektrik yang digunakan. Caj ICPT adalah komponen boleh ubah dalam bil elektrik di mana kadar ICPT adalah berdasarkan penggunaan tenaga elektrik anda pada setiap bulan.
ICPT adalah caj yang dilepaskan secara terus dan pengiraannya adalah mengikut penggunaan bulanan tenaga elektrik dalam unit kWj didarab dengan kadar ICPT (sen/kWj). Caj ICPT ini kemudiannya akan ditambah atau ditolak daripada jumlah bil semasa anda.
Contoh Bill Domestik
Contoh Bill Bukan Domestik
Adakah semua pelanggan membayar jumlah yang sama untuk caj ICPT?
Jumlah caj ICPT pada bil elektrik anda mungkin berbeza daripada jiran anda kerana ia bergantung kepada jumlah penggunaan tenaga elektrik (kWj) sebulan. Oleh itu, jumlah ICPT yang perlu dibayar adalah berbeza daripada seorang pelanggan dengan pelanggan yang lain, dan berbeza dari satu bulan ke satu bulan yang lain, bergantung kepada penggunaan tenaga elektrik.
Untuk mengurangkan impak ICPT di dalam bil, pelanggan disarankan mengambil langkah penjimatan elektrik seperti yang disarankan oleh Pihak Suruhanjaya Tenaga.
Apakah inisiatif dari pihak kerajaan dan pengawal selia untuk mempersiapkan pelanggan bagi menghadapi kadar ICPT baru pada masa hadapan?
Kerajaan telah menyediakan platform Kalkulator ICPT mesra pelanggan (user-friendly) melalui portal www.myelectricitybill.my yang terdapat di laman web rasmi Suruhanjaya Tenaga. Sila rujuk laman web ST (www.st.gov.my) untuk keterangan lanjut berkaitan pelaksanaan ICPT.
Kalkulator ICPT ini juga bertujuan untuk mendidik pelanggan supaya lebih peka kepada perubahan harga bahan api dan kadar tukaran wang asing di pasaran. Pelanggan boleh memasukkan unjuran harga arang batu dan gas serta kadar tukaran wang asing (forecast fuel price & forex) untuk membuat anggaran kos ICPT pada tempoh pelarasan tarif akan datang.
Selain dari itu, sebagai langkah untuk meminimumkan kos bil elektrik, para pelanggan elektrik di Semenanjung digalakkan untuk memanfaatkan Program Net Energy Metering (NEM). Pelanggan turut digalakkan untuk melaksanakan langkah-langkah menggunakan elektrik dengan cekap. Terdapat pelbagai cara mudah yang boleh dilakukan untuk menjimatkan penggunaan tenaga elektrik, antaranya adalah:
- Melaksanakan audit penggunaan tenaga dengan cara memantau dan menganalisa penggunaan tenaga elektrik serta mengenal pasti peralatan, proses dan sistem yang boleh ditambah baik.
- Membeli peralatan elektrik yang mempunyai penarafan 5-Bintang yang memberikan lebih banyak penjimatan tenaga elektrik. Buat masa ini, pelanggan boleh menebus e-rebat bernilai sehingga RM400 bagi pembelian peralatan elektrik cekap tenaga berlabel 4 atau 5 Bintang. Antara kelengkapan elektrik yang terlibat dalam Program SAVE 3.0 itu adalah penyaman udara, peti sejuk, periuk nasi, ketuhar gelombang mikro, televisyen dan mesin basuh.
- Memastikan suis ditutup apabila tidak digunakan bagi mengelakkan pembaziran tenaga elektrik.